Wednesday, July 25, 2012

TIP 1 : SANGGUP BERKORBAN

Buku : 60 Tip Menjadi Isteri Cantik & Solehah
Penulis : Siti Aminah Ismail


PENGORBANAN seorang wanita amat dihargai oleh Allah dan rasul-Nya. Cuma kita mungkin kurang mengetahui kelebihan yang dikurniakan itu.

Sehinggakan hari ini, ada wanita islam mencari pengiktirafan selain daripada agama kerana berasa pengorbanan mereka tidak dihargai. Malah ada yang turut menuntut persamaan hak seperti di Barat.

Apa yang berlaku ini bukanlah salah mereka semata-mata. Masyarakat Muslim lain turut bertanggungjawab kerana kita dianugerahkan Allah dengan tugas kenabian, bagi memberi harapan dan bimbingan kepada manusia lain.

Allah berfirman :

"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada kedua ibu bapa. Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata 'ah', dan janganlah engkau menengking mereka, tapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia.

Dan rendahkanlah dirimu kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah : Wahai Tuhanku! Kasihanilah mereka berdua sebagaimana mereka telah memelihara dan mendidikku semasa kecil."

(Surah Al-Israa' : 23-24)

Allah memerintahkan agar manusia berbakti kepada ibu bapa dan mentaati mereka. Bagi wanita yang belum berkahwin, ketaatan mereka adalah kepada kedua ibu bapa. Apabila mereka berkahwin, ketaatan itu berpindah kepada suami mereka. Menyakiti hati mereka , adalah dosa yang amat besar.

Ismail ibnu Umaiyyah berkata ada seorang lelaki meminta nasihat daripada Nabi s.a.w. Kata lelaki itu,
"Wahai Rasulullah, berilah aku wasiat."
Rasulullah menjawab,
"Janganlah engkau menyekutukan Allah dengan sesuatu, sekalipun engkau dibakar ataupun dibelah dua."
Lelaki itu berkata lagi,
"Wahai Rasulullah, tambahkanlah."
Rasulullah menjawab,
"Jangan engkau minum khamar (arak), sebab khamar itu adalah kunci segala kejahatan."
Lelaki itu meminta lagi,
"Wahai Rasulullah, tambahkanlah untukku selain itu."
Rasulullah menjawab,
"Didiklah keluargamu dan berilah mereka nafkah mengikut kemampuanmu, dan janganlah engkau mengangkat tongkat (lisan)mu tetapi buatlah agar mereka takut kepada Allah."

(Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah)

Wallahua'lam

No comments: