Friday, July 27, 2012

TIP 2 : SANGGUP MENJADI PAHLAWAN


Buku : 60 Tip Menjadi Isteri Cantik & Solehah
Penulis : Siti Aminah Ismail




RASULULLAH s.a.w berkata,

"Wahai Ummu Saad, terima dan sampaikanlah khabar gembira kepada keluarga mereka, orang yang terbunuh itu saling berteman di dalam syurga, dan mereka semua memberikan syafaat untuk keluarganya."


Kata- kata ini ditujukan kepada Kabsyah binti Rafi' bin Muawiyah bin Ubaid bin al-Abjar al-Ansyariyah al-Khudriyah. (Thabaqat Ibnu Saad, 8/37; al-Isti'ab, 4/383; Usdul Ghabah [7230]; al-Istibshar, ms.129)


Beliau adalah seorang ibu yang memutuskan setiap perkara dengan hukum Allah s.w.t. Anak beliau adalah penjaga Rasulullah semasa Perang Badar, pemegang panji daripada golongan Ansar, serta salah seorang ahli Majlis Syura Rasulullah ketika itu. Anak beliau ini digelar As-Siddiq, orang yang kedua mendapat gelaran itu selepas Abu Bakar. Anak beliau juga menjadi wakil Rasulullah ketika Perang Buwath. Kelebihan ibu ini turut diakui oleh Ibnu Saad dengan berkata,

"Orang yang pertama berbaiat (memberi sumpah setia) kepada Rasulullah adalah Ummu Saad iaitu Kabsyah binti Rafi' bin Ubaid, Ummu Amir binti Yazid bin As-Sakan dan Hawa' binti Yazib bin As-Sakan."


Semasa Perang Badar, beliau meniupkan semangat kepada anak beliau, Saad bin Muadz dan Amru bin Muadz, agar berangkat dan berjihad kerana Allah, dengan sebenar-benar jihad. Semasa Perang Uhud pula, Ummu Saad terlibat secara langsung bersama beberapa Muslimah yang lainnya. Berita kekalahan tentera Muslimin dan gugur syahidnya anak beliau, Amru bin Muadz sampai ke pengetahuannya. Namun, berita-berita itu ternyata kurang penting kepada ibu ini berbanding keselamatan diri Nabi. Beliau bersegera ke medan perang bagi melihat dengan matanya sendiri, keadaan dan keselamatan Rasulullah.


Saat itu juga, beliau memanjatkan puji dan syukur kepada Allah seraya berkata,

"Selagi aku melihat engkau dalam keadaan selamat, maka musibah ini (kematian Amru bin Muadz) terasa sangat ringan."



Di saat Perang Khandaq meletus, Rasulullah s.a.w mengarahkan para Muslimah dan kanak-kanak yang turut serta, berlindung di dalam benteng Bani Haritsah yang sudah siap dibina. Turut berada di situ adalah Aisyah yang digelar Ummul Mukminin dan Ummu Saad. Aisyah berkata Saad bin Muadz pergi menyertai pasukan perang dengan mengenakan baju besi yang pendek, sehingga seluruh tangannya terdedah. Ummu Saad menasihati anaknya agar bersegera supaya tidak ketinggalan walau sesaat pun bagi mendampingi Rasulullah. Beliau tidak henti-henti menasihati dan meniupkan semangat jihad kepada anaknnya. Beliau berkata,

"Wahai anakku, cepatlah berangkat. Demi Allah, engkau sudah terlambat."


Dalam peperangan itu, Saad terkena anak panah yanv dilemparkan oleh Hibban al-Urqah. Anak panah itu memutuskan urat yang hampir dengan mata kakinya.


Saat itu, Saad sempat berdoa kepada Allah s.w.t dengab doanya yang sangat masyhur,

"Ya Allah sekiranya Engkau masih mahu peperangan melawan Quraisy ini berlangsung, panjangkanlah usiaku supaya aku dapat menyertainya. Tidak ada kaum yang suka aku perangi kerana Engkau, selain daripada kaum yang sudah menyakiti Nabi-Mu, mendustakan dan mengusirnya. Ya Allah sekiranya Engkau mengizinkan kami berperang dengan mereka, maka jadikanlah mati syahid untukku dan janganlah Engkau uji aku sehingga aku berasa senang kerana dapat mengalahkan Bani Quraizhah."


Ternyata Allah memakbulkan doa Saad bin Muadz. Yahudi Bani Quraizhah kemudian melanggar perjanjian yang sudah dimeterai bersama Nabi. Keputusan menghukum Bani Quraizhah diserahkan kepada Saad bin Muadz. Beliau memutuskan agar kaum lelaki Bani Quraizhah dibunuh, manakala kaum wanita dan kanak-kanak dijadikan tawanan. Sebaik-baik sahaja urusan Bani Quraizhah selesai, luka pada kaki Saad semakin parah dan akhirnya beliau meninggal dunia. Sekali lagi Ummu Saad diuji dengan kehilangan anak. Jasad Saad diusung dan dikebumikan di Baqi'. Kesedihan Ummu Saad terpancar jelas pada wajahnya.


Lalu Rasulullah s.a.w menghiburkan beliau dengan berkata,

"Adakah air matamu tidak dapat dibendung dan apakah kesedihanmu tidak dapat dihilangkan? Sesungguhnya anakmu adalah orang pertama, Allah tersenyum kepadanya dan Arasy bergoncang kerana kematiannya." (Siar Alamin-Nubala', 1/293: Thabaqat Ibnu Saad, 3/434; Majma' Az-Zawa'id, 9/309)


Hatinya gembira dengan perkhabaran Nabi. Beliau hanya mengharapkan pahala di sisi Allah dan Rasul-Nya atas kematian kedua-dua anaknya sebagai syuhada, apatah lagi setelah mengetahui ketinggian mertabat seorang syahid. Beliau mendahulukan cintanya kepada Allah dan Rasul berbanding perkara lain, walaupun perkara itu sangat berharga kepada manusia lain, seperti harta dan anak-anak. Di atas sifatnya ini, beliau layak mendapat khabar gembira daripada Allah dan Rasul-Nya, sebagai penghuni syurga.Ummu Saad menerima khabar itu sewaktu berakhirnya Perang Uhud. (Al-Maghazy, 2/315-316; as-sirah al-Halabiyah, 2/545-546)

Ketika Nabi mengetahui gugurnya Amru bin Muadz bersama sebelas syuhada lain di medan Uhud, beliau lantas berkata,

"Wahai Ummu Saad, terima dan sampaikanlah khabar gembira kepada keluarga mereka, orang yang terbunuh itu saling berteman di dalam syurga, dan mereka semua memberikan syafaat untuk keluarganya."

Nabi turut mendoakan Ummu Saad dengan doa yang istimewa,

"Ya Allah, singkirkan kesedihan dan ringankanlah musibah mereka. Berilah pengganti yang baik kepada orang yang mereka tinggalkan."

Daripada Anas bin Malik, Rasulullah pernah berkata,

"Barang siapa yang sabar dan ikhlas mencari pahala kerana kematian tiga orang anaknya, maka dia akan masuk syurga."

Seorang wanita yang berdiri bertanya,

"Bagaimana dengan dua orang anak?"

Nabi kemudian menjawab,

"Begitu juga dengan dua orang anak." (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, at-Tirmidzi, an-Nasaei dan Ahmad)

Semoga keikhlasan dan kesabaran Ummu Saad mendidik anak-anaknya sehingga menjadi pendamping utama Rasulullah di medan dakwah dan jihad, menjadi contoh kepada ibu kaum Muslimin hari ini, supaya mereka menjadi pahlawan yang sebenarnya.


Wallahua'lam

No comments: